Kuiz / Latihan

.
Latihan:

Tingkatan 4

Rumusan : Langkah-langkah meningkatkan kemajuan sektor pelancongan kesihatan


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah meningkatkan kemajuan sektor pelancongan kesihatan di Malaysia dan kesan-kesannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pelancongan kesihatan merupakan satu lagi cabang ekonomi baru yang wajar diusahakan oleh kerajaan. Dengan kewujudan banyak hospital dan pusat kesihatan swasta, Malaysia sebenarnya mampu bersaing dengan negeri-negeri lain yang telah mempunyai prasarana kukuh dalam industri baru ini seperti Thailand, Jordan dan India. Kelebihan Malaysia ialah memiliki kepakaran yang tinggi untuk ditawarkan, selain kos perubatan yang rendah mengikut tukaran mata wang asing. Keindahan alam semula jadi yang dimiliki oleh negara ini juga penyumbang utama terhadap sektor pelancongan kesihatan. Dalam hal ini, beberapa buah syarikat swasta di negara ini telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menarik kedatangan pelancong luar.

Pelancongan kesihatan mempunyai potensi besar berdasarkan kepada kejayaan negara menarik sebanyak 174,200 warga asing dan menjana pendapatan sebanyak RM105 juta pada tahun 2004 berbanding sebanyak 103,000 pelancong dengan jumlah pendapatan hanya RM59 juta pada tahun 2003. Dalam usaha mendorong pembangunan sektor pelancongan kesihatan tersebut pelbagai langkah telah diketengahkan oleh pihak kerajaan. Perkara utama yang diberikan perhatian ialah menyusun pakej pelancongan kesihatan dengan menyelaraskan tawaran hospital dan hotel di samping membentuk rujukan rangkaian antarabangsa.

Malah dalam hal ini, pihak kerajaan menggalakkan hospital mendapat akreditasi dengan pusat perubatan terkemuka di dunia. Pendekatan yang lain ialah menggalakkan pembentukan syarikat multinasional Malaysia oleh pihak swasta. Apabila usaha sedemikian dilaksanakan perkembangan pelancongan kesihatan amat memberangsangkan terutamanya daripada pasaran Asia Barat dengan peningkatan mendadak jumlah pelancong dari Kuwait, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu. Usaha seterusnya yang dilakukan oleh pihak berkenaan ialah melonggarkan syarat imigresen bagi pakar perubatan dan terapi asing serta pesakit.

Kerajaan juga turut memberikan sokongan penyelidikan klinikal di institusi Kesihatan untuk membina pusat kecemerlangan klinikal. Kerajaan juga sentiasa mengalu-alukan usaha pihak swasta mengendalikan promosi perkhidmatan rawatan dan kesihatan di hospital-hospital swasta tempatan. Misalnya pada tahun 2004, Kementerian Kebudayaan, kesenian dan Pelancongan telah memberi kerjasama ekoran penubuhan Medical Services Coordination Sdn. Bhd(MSC) yang menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan kesihatan di negeri ini. Hal ini selari dengan dasar Persyarikatan Malaysia yang diamalkan oleh kerajaan.

Secara tuntas, pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan bagi menawarkan kualiti perkhidmatan kesihatan bagi menarik lebih banyak warga asing melalui produk pilihan khidmat kesihatan swasta di Malaysia. Pemantauan yang berterusan turut dilakukan termasuk menubuhkan Unit Pelancongan Kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan. Walau bagaimanapun mereka yang terlibat dalam industri ini haruslah mempunyai tanggungjawab sosial dan mengutamakan perkhidmatan yang berkualiti, di samping mengambil kira keuntungan yang diperoleh.

Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata tanggungjawab sosial. [2 markah]

(ii) Nyatakan faktor-faktor yang mendorong perkembangan pelancongan kesihatan di
Malaysia. [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah kekangan-kekangan yang terdapat dalam proses
pelaksanaan pelancongan kesihatan ? [4 markah]

No comments:

Post a Comment